Thursday, October 22, 2009

16 September - Hari Malaysia kini diisytihar Cuti Kebangsaan

Dalam Persidangan Parlimen, Mesyuarat Kedua, Parlimen Kedua Belas (2009), soalan yang saya kemukakan di Dewan Rakyat diletakkan dalam senarai yang pertama di mana saya meminta Perdana Menteri menyatakan;

(a) sejauh manakah penerimaan rakyat jelata ke atas seruan “kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia – one people”; dan

(b) jenis-jenis program-program yang difikirkan berkesan yang boleh dirangka mencapai hasrat di atas.

Perdana Menteri dalam jawapannya menyatakan bahawa Gagasan 1 Malaysia bertujuan untuk memupuk perpaduan nasional di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum supaya negara kita menjadi lebih stabil, kukuh dan aman.

Dalam jawapan ini juga, Perdana Menteri telah mengumumkan bahawa Jemaah Menteri telah membuat keputusan yang bersejarah untuk meraikan Hari Malaysia pada 16 September mulai tahun 2010 sebagai hari cuti awam untuk seluruh Malaysia. Kata beliau, Hari Merdeka pada 31 Ogos mengingatkan kita akan perjuangan mencapai kemerdekaan dari penjajahan, manakala Hari Malaysia pula akan dirayakan dengan acara-acara bersifat mengeratkan perpaduan persefahaman antara kaum, kejayaan dan pencapaian masyarakat menerusi bidang sukan, sosio budaya, kesenian dan lain-lain yang akan menyemarakkan semangat 1 Malaysia.

Saya mengucapkan tahniah kepada kepimpinan Perdana Menteri kerana telah membuat keputusan ini. Sesungguhnya perisytiharan 16 September sebagai Hari Malaysia sudah lama ditunggu-tunggu. Upko, telah banyak kali membuat resolusi mengenai perisytiharan 16 September – Hari Malaysia sebagai hari cuti umum kebangsaan.

Pengumuman ini sangat penting bagi masyarakat Sabah dan Sarawak yang telah banyak menyumbang kepada pembentukan Malaysia. Tanpa Sabah dan Sarawak, tentunya negara Malaysia ini tidak dapat ditubuhkan. Justeru, sejarah mesti diperbetulkan. Sabah dan Sarawak tidak pernah menyertai Malaysia, sebaliknya membentuk Malaysia bersama-sama dengan Tanah Melayu dan Singapura pada 16 September 1963.

Saya ingin melihat supaya istilah-istilah seperti “Sabah dan Sarawak menyertai Malaysia pada 16 September 1963; Sabah dan Sarawak mendapat kemerdekaan setelah menyertai Malaysia; Malaysia, termasuk Sabah dan Sarawak” dan sebagainya diubah. Perkara ini sangat menyedihkan kerana stesen televisyen, radio dan media massa banyak menyatakan istilah yang tidak betul ini.

Saya juga ingin melihat supaya buku-buku sejarah yang digunakan di sekolah-sekolah digubal semula untuk memberikan perhatian yang seluasnya kepada signifikasi dan peristiwa sebenar di sebalik pembentukan Malaysia. Kita mahu generasi muda kita berasa bangga dengan sejarah negara. Kita mahu sejarah yang sebenar dicatit sepertimana ia berlaku.

Mari kita mengingati jasa-jasa pejuang pembentukan negara Malaysia seperti antara lainnya Donald (Tun Fuad) Stephens, Temenggung Jugah, Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan banyak lagi yang tidak dapat disebutkan di sini. Tanpa mereka, kita tidak akan berada di dalam sebuah negara yang dipanggil Malaysia ini.

Upko, sebagai sebuah parti politik akan terus berpegang teguh kepada prinsip-prinsip penubuhan negara Malaysia sepertimana yang dinyatakan di dalam Perjanjian Malaysia, seterusnya Perlembagaan Malaysia dengan mengambilkira proses-proses perundingan Inter-Governmental Committee (IGC) semasa merundingkan penubuhan Malaysia termasuk syarat 20 Perkara yang dikemukakan oleh pemimpin-pemimpin Sabah ketika itu.